Friday, April 8, 2011

KISAH ISTERI/ IBU 'TERPAKSA' BERKORBAN' HANYA UNTUK KEBAHAGIAAN SUAMI DAN ANAK..

Perkahwinan yang bahagia disertai kasih sayang dan tanggungjawab kepada keluarga yang dibina bersama. Anak sebagai pengikat kasih sayang yang sangat hebat kerana perceraian mungkin tidak berlaku disebabkan anak.

Bagi Marina Mustafa (bukan nama sebenar), hidupnya ibarat lilin, membakar diri untuk kesenangan orang lain terutama suami, Bakaruddin (bukan nama sebenar) yang sentiasa bercitacita besar menambah bilangan isteri.


Kesengsaraan Marina, 39, bermula apabila Bakaruddin, 43, bertemu dengan Atirah (juga bukan nama sebenar) yang datang berurus niaga ke gudang menjual peralatan membina rumah dimiliki Marina dan suaminya.


"Atirah membeli cat untuk mengecat rumah bujang mereka. Suami saya menghantar pesanan cat yang tidaklah banyak tapi kebetulan pada hari berkenaan, tiada pembantu di kedai menyebabkan dia sendiri menghantarnya.


"Daripada menghantar cat, dia menawarkan diri untuk menolong mengecat pada hujung minggu dengan membawa anak ketika rakan serumah Atirah ada. Perhubungan sebagai tauke kedai `hardware' dengan pelanggan menjadi lebih daripada itu dan setahun selepas itu saya mendapat tahu mereka sudah berkahwin," katanya kepada penulis yang menghubunginya melalui telefon.


Marina, ibu kepada enam cahaya mata sudah beberapa tahun menghadapi perkahwinan berantakan gara-gara Bakaruddin yang pandai memikat perempuan. Berbekal wajah kacak kacukan Cina dan Melayu, wanita mudah jatuh cinta dengan Bakaruddin.


"Saya tidak menghalang dia berkahwin kerana itu termaktub dalam hukum, tapi tanyalah wanita mana sekalipun, bermadu adalah perkara terakhir dalam hidup yang mungkin mereka lakukan. Begitu juga dengan saya walaupun susah payah menjaga anak.


"Dia melayan saya dengan baik dari segi zahir, tetapi saya tetap tidak mahu berkongsi kerana banyak perkara berbangkit mengganggu-gugat hidup saya dan anak," katanya dengan nada sayu.


Bercerita lanjut, Marina sudah beberapa kali bercadang meminta fasakh kerana tidak mahu menderita dengan sikap Bakaruddin, pandai menanam tebu di bibir. Setiap kali hendak mengemukakan permohonan, ketika itulah Bakaruddin bersikap baik dan beralah.


Bagaimanapun, kejadian terkini melanda rumah tangga Bakaruddin dan Atirah mengejutkan Marina. Beliau menyangka kedua-duanya bahagia melayari bahtera kasih sayang sebaliknya Atirah didapati memohon fasakh juga atas alasan Bakaruddin melakukan penipuan ketika mengahwininya.


"Saya yang bercita-cita meminta dilepaskan daripada Bakaruddin, dia pula yang memintas saya atas alasan Bakaruddin menipu untuk tujuan mengahwininya. Apa yang tidak sedap didengar adalah Atirah mengatakan saya bersubahat dengan Bakaruddin untuk menipunya sedangkan saya juga ditipu Bakaruddin hidup-hidup dalam hal poligami," katanya.


Pertengahan Ogos ini, Marina diminta menjadi saksi kepada Bakaruddin dalam usaha melepaskan dirinya daripada tuduhan menipu Atirah. Hatinya berbelah bagi untuk menjadi saksi kerana beliau seolah-olah melepaskan anjing yang tersepit sekiranya berpihak kepada Bakaruddin.


"Saya masih ada masa memikirkan semasak-masaknya untuk membuat keputusan tepat, mungkin sudah tiba masanya, saya mengatur langkah baru dalam hidup. Mungkin tidak ada luka atau lebam pada tubuh badan saya, tetapi hati di dalam remuk redam siapa yang tahu.


"Sebetulnya saya sudah membina tekad, tetapi rayuan ayah sendiri supaya saya memikirkan kepentingan anak tidak boleh saya ikuti lagi. Mungkin pada hari saya sepatutnya menjadi saksi untuk Bakaruddin adalah hari penentuan juga untuk hidup saya," katanya penuh ketegasan.


Marina didera secara mental tanpa disedari. Pernah juga beliau murung berminggu-minggu kerana memikirkan sikap Bakaruddin yang tidak difahami itu.


"Saya tidak akan membiarkan lagi diri dijadikan tempat mengadu Bakaruddin. Selepas ini dia boleh mengadu kepada sesiapa saja yang dia mahu. Saya ingin dapatkan hak saya untuk hidup dalam keadaan aman dan tenteram tanpa ada tekanan mental mahupun fizikal.


"Saya akan terus maju dan bukannya memikirkan kepentingan orang lain lagi. Saya perlu dahulukan kebajikan saya dan anak, bukan suami atau ayah. Bunyinya mungkin seperti menderhaka kepada suami atau mengenepikan ayah, hakikatnya saya tiada pilihan. Saya perlu hidup untuk anak-anak seramai enam orang ini," katanya tanpa ada nada kesal lagi.

No comments:

Post a Comment